Faktor-faktor isu keberhutangan yang serius
Hampir semua penjawat awam didapati mempunyai beberapa bentuk pinjaman, dengan 62% daripada kredit diperoleh daripada Institusi Kewangan Bukan Bank (NBFIs). NBFIs adalah institusi kewangan bukan bank, yang tidak beroperasi di bawah pengawasan peraturan yang sama seperti bank. Di peringkat nasional, hanya purata 18% meminjam daripada NBFIs.
1. Perbelanjaan Impulsif
Budaya “Buy Now, Pay Later” telah menyebabkan rakyat Malaysia membeli barangan lebih daripada kemampuan mereka sekaligus menjadi punca kepada isu kewangan berlaku sekiranya ansuran tidak dapat dibayar mengikut masa yang ditetapkan. Kemudahan ini juga akan mempengaruhi penjawat awam secara langsung. Hal ini demikian kerana, kelayakan untuk BNPL biasanya lebih mudah berbanding pinjaman tradisional. Tambahan, BNPL tidak memerlukan pemeriksaan kredit yang mendalam serta prosesnya lebih mudah. Oleh itu, budaya ini boleh mendorong perbelanjaan impulsif yang tidak perlu, mengganggu bajet individu sekaligus mengganggu perancangan kewangan penjawat awam.
2. Kos sara hidup yang tinggi
Berdasarkan laporan daripada Utusan Malaysia, Angkatan Koperasi Malaysia Berhad (Angkasa) menguruskan hampir RM1.2 bilion sebulan atau RM14.4 bilion setahun bayaran balik 800,000 penjawat awam yang membuat pinjaman dengan pelbagai institusi kewangan dan koperasi. Kebanyakan pinjaman yang diambil penjawat awam tanpa mengira gred adalah pembiayaan peribadi. Ini telah membuktikan majoriti pinjaman daripada penjawat awam adalah pinjaman peribadi untuk menampung kos sara hidup mereka. Walaupun Kerajaan Malaysia telah mengumumkan kenaikan gaji sehingga 15% untuk semua penjawat awam persekutuan mulai Disember 2024, inisiatif ini juga akan membawa kesan-kesan negatif seperti inflasi yang lebih tinggi.
3. Kekurangan pendidikan kewangan
Kekurangan pengetahuan mengenai pengurusan kewangan dan perancangan kewangan akan menyebabkan penjawat awam tidak dapat menguruskan hutang dengan berkesan. Lebih merisaukan, berkemungkinan besar penjawat awam akan terjerumus dalam masalah kewangan kerana mengambil pinjaman yang tidak sesuai atau tidak mampu membayar balik hutang pada masa yang ditetapkan. Kejadian ini juga akan membawa bebanan kewangan yang sangat besar serta mempengaruhi kesejahteraan mental dan fizikal penjawat awam. Ini adalah disebabkan oleh kadar faedah yang dikenakan oleh pinjaman adalah sangat tinggi.
